Tarikh keramat ini akan sentiasa sy & keluarga kenang…
22 Ogos 2003
Pagi yang begitu dingin luar biasa dari pagi-pagi yang lain. Semua orang sibuk bersiap ke pejabat dan sekolah. Segalanya berlaku seperti biasa.
Waktu petang, saya masih di pejabat menunggu adik kedua saya, Faiz untuk pulang kerana kereta ketika itu berada di dalam bengkel. Perjalanan kami ke rumah melalui kesesakan jalanraya yang sesak membuatkan kami tiba di rumah agak lewat setiap hari. Setibanya di kawasan rumah, telefon bimbit saya berdering.
Panggilan dari ibu saya,
Emak: Jil, kau dkt mana? Dah sampai? (nadanya begitu sedih sekali)
Saya: Baru je sampai nak masuk rumah. Kenapa mak?
Emak: Pergi terus dkt Klinik Langat ni. Hafiz accident.
Berderau darah saya mendengar berita adik ketiga saya kemalangan. Ini kali kedua.
Saya: Allahuakbar. Dah cakap jangan naik motor lagi. (Saya mendengus kesal)
Emak: (Menangis) Jangan marah dia, Jil… Jangan marah ye… ko drive baik-baik… Jangan laju-laju…
Saya: Ok, mak. Jiji sampai skjap lg.
Saya dan Faiz bergegas ke Pusat Kesihatan Hulu Langat. Setibanya di sana sy dapati org begitu ramai sehingga tiada tempat untuk meletakkan kereta. Saya tinggalkan kereta di tepi jalan untuk sementara waktu dan bergegas masuk.
Astaghfirullahal’azim… Lemah lutut saya melihat sekujur tubuh yg telah diselimut. Ya Allah… berat sungguh dugaanMu… Dengan kekuatan yang diberi, saya menyingkap kain yang menyelimuti tubuh itu. Ya, dia adalah adik kandungku… Hafiz…
Dia mengalami kecederaan yang serius di kepala. Allah lebih sayangkan dia. Dia telah pergi pada usia semuda 16 tahun ketika itu. Kakiku tidak berdaya berdiri. Aku dipeluk oleh Faiz. Airmata seorang abang yang ingin melihat adiknya berjaya dalam hidup musnah… Langsung terlintas ketika pertama kali dia dibawa ke Klinik yang sama waktu kemalangan setahun sudah. Rahangnya pecah membuatkan dia tidak boleh berkata-kata. Saya berbisik kepadanya ketika itu, “Ingat Allah… ingat Allah… ingat Allah… tiada satu org pon boleh bantu ketika ini melainkan Allah…” Airmatanya mengalir… Sama seperti saya… Aku harap pesanan itu mengiringi pemergiannya…
Aku dakap erat emak… Sudah pasti dia lebih pilu dari semua org yg ada di situ… “Sabar, mak… ini dugaan Allah…”
Emak masih tidak mampu menerima kenyataan bahawa dia kehilangan satu permata hati… “Kenapa Hafiz…Dia tak puas hidup lagi… dia belum puas hidup…” Aku meniupkan semangat begitu juga dgn yg lain… “Mak, ini kehendak Allah mak… ada hikmah disebalik kejadian… yakinlah… emak kena redha dengan qada’ & qadar…” Aku peluk emak dgn erat dan pilu sekali.
Allahyarham Muhammad Hafiz Sedek telah pulang ke rahmatullah malam itu. Beliau kemalangan motosikal dan tercedera parah di bahagian kepala. Secara saintifiknya pendarahan yang banyak membuatkan beliau tidak dapat diselamatkan. Jenazah dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan dikebumikan pada keesokan hari.
Allahyarham merupakan anak ketiga dari empat adik beradik saya. Beliau seorang yang pendiam, cool & sopan. Adakalanya beliau dipanggil anak emak kerana perwatakannya yang sopan itu. Beliau begitu rapat dengan adik yang bongsu, Nurhamizah. Namun, Allah lebih menyayangi beliau.
Gambar kenangan allahyarham…










Hari ini genap 6 tahun pemergian arwah yang sentiasa kami kenang. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yang dikasihi Allah Taala. Al-fatihah…
Azizil Sedek
Notakaki: Sayangi & hargai mereka yang berada di sisi anda sementara kenikmatan itu ditarik oleh Allah bila-bila masa.